Mat, pakai jeans koyak. Punya telefon bimbit yang tak boleh 3G. Cukup sekadar hantar SMS, dan buat bergayut dengan awek sampai pukul dua tiga pagi. Mat jual burger. Burger Mat kadang-kadang laku. Tambah laku bila Manchester United sesah pasukan lawan di Old Trafford di paparan sebesar gajah restoran mamak yang memberi tumpang dia buka gerai burger. Mat tak belajar tinggi. Waktu tingkatan empat, dia sudah ada lesen motor. Arwah bapa Mat suruh dia ambil lesen motor supaya senang dia pergi sekolah, dan sekali sekala tolong ibunya ke kedai, beli perkakas dapur. Gula, garam, telur, bawang. Mat guna motor untuk bawa ceweknya pusing kotaraya. Kadang-kadang bila ceweknya itu buat perangai, Mat guna motornya untuk lepas geram. Mat bawa motornya itu, jumpa kawan-kawan, yang turut bermotor juga. Mereka beradu motor siapa lebih hebat. Motor siapa lebih ‘blah’.
Mat tidak baca surat khabar. Kalau Mat lalu di kedai runcit untuk beli sekotak rokok seludup, dia cuma jeling muka depan. Nampak satu dua tajuk utama yang selalunya punya kata seperti ‘bogel’, ‘seks’, ‘video’ dan ‘laknat’; kemudian Mat akan blah. Mat juga tidak tonton berita di televisyen. Rumah Mat tak ada pun televisyen. Arwah bapa Mat jual televisyen, supaya boleh bagi duit belanja untuk adik-adik Mat yang lagi sembilan orang. Supaya adik-adik Mat boleh makan minum dan tidak terliur tengok kawan makan di waktu rehat. Mat tak peduli Buletin Utama TV3. Mat langsung tak tahu ada TV Hijrah. Mat hanya kadang-kadang ikut ceweknya itu duduk restoran tomyam, tonton drama petang-petang, atau pertandingan nyanyi-nyanyi.
Cewek Mat ini, namanya Minah. Tapi disebabkan cewek Mat ini tak mahu digelar ‘kampung’ maka panggilnya Min sahaja. Min, juga pakai jeans koyak. Cumanya jeans Min ini melekat di punggung. Mat suka. Ada sekali-sekala Mat tepuk-tepuk, tapi tak boleh di khalayak. Min akan menjeling manja bila Mat buat begitu. Cinta dan sayangnya pada Mat menghapus apa batas yang ada dicadangkan orang. Min sudah tiada dara. Min, bertuah sedikit badannya, punya telefon bimbit yang boleh 3G. Min kerja kerani pejabat loyar. Hari-hari Min sembang dengan kerani lain; tentang pertandingan nyanyi-nyanyi yang dia paksa Mat tonton bersama. Kadang-kadang tentang angan-angannya mau kenduri kahwin macam Kate Middleton. Tapi Mat bukan anak raja. Maka Min boleh angan-angan saja.
Min dulu ada sambung mengaji. Tapi tengah-tengah rajin menaip tutoran, Mat akan hantar SMS, mahu manja-manja. Selesai manja-manja, Mat akan ajak bergayut. Min tak kisah. Super saver ada. Lagipun Min dapat duit dari papa dan mamanya setiap minggu. Maka kerja Min terbengkalai. Dan Min tak bercita-cita untuk sambung mengaji. Dia hanya mahu peluk Mat, dengan penuh kasih sayang. Kemudian ubah lelaki itu menjadi Prince William bila nanti Mat buat keputusan jantan mengajaknya bernikah. Ajak kahwin sudah berkali-kali. Kahwinnya juga sudah berkali-kali. Cuma nikah sahaja belum. Min tak kisah. Min sayang Mat. Cinta mereka sama sebiji macam kisah cinta yang Min tonton di Panggung Sabtu. Atau macam cerita cinta yang Min baca dalam novel-novel cinta yang dia pinjam dari abang angkatnya waktu belajar dulu. Abang angkat Min baik. Suka tolong Min. Tapi Mat tak tahu. Mat tak perlu tahu.
Abang angkat Min, namanya Dolah.
Dolah, pakai seluar slack. Sepatu murahnya sudah lama tidak dikilat. Tapi apa dia kisah. Dolah kerja pejabat pos. Duduk belakang kaunter, tunggu orang datang bayar bil air api. Dolah, ada kereta. Dolah guna keretanya itu untuk hantar anak-anaknya pergi sekolah, sebelum hantar isterinya pergi kerja. Ada masanya juga, Dolah guna keretanya untuk bawa Min jalan-jalan. Hiburkan hati. Dolah tak boleh dipersalahkan. Dia punya tanggungjawab besar untuk cari rezeki buat beri makan anak bini. Dolah mahu masa untuk diri sendiri juga. Kasihan Dolah.
Dolah, punya beban berat. Pada usia baru lewat dua-puluhan, dia punya beban hutang belajar, walau pun belajarnya tak habis. Dicampur itu dengan beban hutang kereta. Kemudian campur lagi hutang rumah. Kemudian kira sama belanja anak bini. Campur sekali duit untuk orang tua di kampung. Campur pula duit yang dia belanja untuk hiburkan hati yang lara disebabkan hutang-hutangnya. Dolah, jarang punya masa untuk tonton televisyen. Menonton televisyen di rumah sepulangnya dari kerja, ertinya merelakan telinganya mendengar anak bini memekak. Dolah buat salah besar kahwin pada usia ini, pada janda anak dua.
Siti ini, bininya si Dolah. Siti janda. Lakinya mati sakit jantung. Dia selalu salahkan dirinya, kerana suka masak makanan berminyak. Tapi Siti pandai. Siti tak makan apa yang dia masak. Maka Siti hidup sihat. Siti masih bergetah. Sebab itu Dolah tergoda. Siti tak buang masa. Siti goda Dolah. Siti menikah lagi. Siti suka. Dolah sayang Siti. Dolah akan korban apa saja untuk Siti. Sebab Siti pandai layan Dolah.
Siti kerja bank. Hari-hari Siti bergosip dengan kawan-kawannya tentang pelanggan bank yang tak bayar hutang. Tentang pelanggan mana yang duitnya banyak. Tentang pelanggan mana yang beli rumah, beli kereta. Siti tahu ekonomi negara merosot. Siti tahu nilai matawang dunia menyusut. Siti tahu harga barang naik. Siti sedar harga petrol naik. Siti tengok orang datang minta pinjam wang hari-hari. Mahu buka perniagaan, mahu kerja sendiri, mahu cari duit; supaya boleh sara anak bini.
Siti tonton televisyen dengan anak-anak. Sambil anak-anak buat kerja sekolah, dan curi pandang pada kaca televisyen. Siti tengok berita TV3. Anak Siti tanya, “Mak.. liwat tu apa?” Siti sengih. Siti kata, “Dia salah sebut. LEWAT la. L-e-w-a-t.” Siti padam televisyen. Tunggu Dolah balik kerja. Malam tu malam Jumaat.
Anak Siti ketawa mengekek. Anak Siti kata dalam hati, “Mak ni, ingat aku bodoh ke.” Anak Siti masuk internet. Anak Siti buka Google.
Mat, Minah, Dolah dan Siti ini semuanya rakyat Malaysia. Mereka punya kerisauan masing-masing dan harapan serta cita-cita tersendiri. Mat, Minah, Dolah dan Siti; sebenarnya tak banyak beza dengan kau dan aku. Kita ini semua punya persamaan yang jelas. Mungkin cuma satu persamaan, atau barangkali lebih. Apa yang nyata, kita ini semua rakyat Malaysia yang punya tekanan-tekanan dan situasi ekonomi yang mengharukan.
Anak-anak muda seperti Mat dan Min, tidak sangat peduli dengan politik idea. Dolah juga serupa. Dia lebih peduli tentang duit. Kerisauan dia itu lebih material, dibanding dengan kerisauan tentang pihak-pihak yang tidak memberi banyak kesan padanya, seperti puak yang sebar video lucah. Seperti kelas pertengahan yang hampir tidak membaca, politik hanya difahami sebagai pertarungan parti-parti politik untuk merebut kekuasaan untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing.
Anak muda memandang politisi sebagai grup yang ‘poyo’ dan tidak selari dengan gaya mereka. Maka ide politik tidak menjadi tarikan. Kerana ide politik tidak ‘cool’. Semahunya mereka ini, supaya tidak mengambil garis partisan, supaya tak nampak ‘poyo’ dan tua sebelum usia. Namun hakikatnya anak muda tidak bisa lari jauh, dari efek politisi dan politik. Mahu tidak mahu, perlu peduli juga. Terutamanya bila Mat nak merempit, mahu beli minyak rasa macam lebih baik makan nasi ayam. Atau bila Min mahu buat kueh raya, tidak bisa guna gula. Bila Dolah hampir bankrap dan tidak lagi boleh hora-hora. Bila Siti punya anak-anak, terlebih bijak dan tidak teringin masuk sorga kerana tidak rasa perlu agama. Semua itu politik belaka.
Ketika setiap sensitiviti kita diruntun, dan marah kita dipetik; di waktu itu baru mau bangkit melawan dan mengaku peduli.
No comments:
Post a Comment